Assalamualaikum

Assalamualaikum

Wednesday, May 28, 2014

Cadbury VS Duit Haram







Seluruh rakyat Malaysia di kejutkan dengan isu coklat keluaran cadbury yang terdapat DNA babi. Ramai yang menunding jari kepada JAKIM. Kelemahan JAKIM menangani isu cadbury ini memberi tamparan hebat buat kerjaan Malaysia.



Namun begitu, bagi pandangan saya isu cadbury ini hanyalah sekelumit saja jika hendak di bandingkan dengan perkara haram lain. Mengapa kita tidak bising atau buat bantahan yang habis-habisan dengan perkara yang jelas haramnya seperti riba, rasuah, judi, menyalahguna harta awam dan seumpama dengannya. Inilah fahaman orang Islam kita, yang hanya terasa 'haram babi, tetapi tidak terasa haram judi, riba dan rasuah sedangkan dosa dan mudarat semua itu lebih besar dari babi.


Firman Allah SWT :
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah: 188)



Firman Allah SWT
"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Surah al-Maidah : ayat 90)


Mari kita fikir-fikirkan petikan dari tazkirah yang telah disampaikan oleh Ust Don Danial ini.....


"Bukan hanya daging babi, haiwan tak disembelih, atau pun arak sahaja yang kita perlu jaga sangat-sangat supaya tak masuk ke dalam perut.
Ada lagi sumber yang lain kita perlu dielak campurkan dengan darah daging.
Nasi yang dimakan memang halal, tetapi kalau dibeli dengan gaji yang ditipu..pun ragu statusnya.
Jadi ragu disebabkan semasa waktu kerja, guna talian internet ofis berjam-jam melayan Facebook peribadi, lepak-lepak di kantin, kafeteria, ataupun konon keluar jumpa klien tetapi sebenarnya klien untuk bisnes sendiri.
Ataupun pergi rumah kawan untuk dengar gosip terbaru.
Makan ayam goreng yang JAKIM sahkan halal, tetapi dibeli guna wang claim yang diada-adakan. Claim hotel, tetapi sebenarnya menginap percuma di rumah saudara-mara.
Minta pemandu teksi keluarkan resit palsu. Claim mileage ke lokasi meeting, tetapi melencong shopping sebelum pulang ke ofis.
Sengaja lengah kerja waktu pejabat kerana mahu claim OT. Ambil kertas A4, sampul surat, selotep, guna mesin fotostat pejabat untuk urusan bisnes online milik sendiri.
Kadang-kadang, badan asyik sakit-sakit, duit asyik tak cukup, masalah bertimpa-timpa..bukan sebab Tuhan tak sayang. Bukan sebab orang aniaya. Bukan sebab santau atau kerja jin. Tetapi puncanya daripada diri sendiri yang tak mengawal hati.
Fikir dalam-dalam. Apabila musibah; tak perlu tuding jari, ataupun bertanggungjawab atas perilaku sendiri".

KEBERKATAN YANG DICARI 


6 cara utk mendapat pahala setelah mati: 
  •  Beli Al - Quran kepada seseorang, setiap kali dia mmbacanya kamu akan menerima pahala. 
  •  Sedekah kerusi roda kepada hospital, setiap kali org sakit menggunakannya nescaya kamu akn mendapat pahala.
  •  Turut serta dalam pembinaan masjid.
  •  Meletak watercooler di tempat awam.
  • Menanam pokok. Kamu menerima pahala sekiranya ada manusia ataupun binatang berteduh dibawahnya atau makan darinya.
  •  Cara yg terakhir dan paling mudah adalah kongsi mesej ini kepada semua, sekiranya ada org yg mampu melakukan salah satu perkara di atas maka kamu akn mendapat pahala.

Tuesday, May 27, 2014

Hikmah di sebalik Israk dan Mikraj






Assalamualaikum........

Selamat Menyambut Israk Mikraj 1435H
Hikmah di sebalik Israk dan Mikraj


          Marilah kita mendengar firman Allah Taala yang menceritakan tentang peristiwa agung yang berlaku dalam sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun para ulama telah bertelingkah di dalam menentukan bulan dan tahun berlakunya Israk tetapi ia adalah peristiwa yang benar-benar berlaku kepada Rasulullah s.a.w. kerana peristiwa ini dinyatakan oleh Al-Quranul Karim dan diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadisnya yang sahih, yang diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi.

             Matlamat yang penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah s.a.w. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat bersejarah itu.

Firman Allah Taala (maksudnya):
 "Maha suci Tuhan yang telah menjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitulmaqdis) yang Kami telah berkati di sekelilingnya supaya Kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat Kami (tanda-tanda kebesaran dan ketuhanan Kami), sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israk: 1)

            Peristiwa Israk dan Mikraj untuk menyatakan Rasulullah s.a.w. adalah benar seorang rasul yang dipilih oleh Allah SWT, membawa satu agama dan pengajaran yang bernama Islam,

 Firman Allah Taala(maksudnya): 
"Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam." (A-li Imran: 19).
Dan Allah menyatakan juga (maksudnya): "Dan sesiapa yang mencari (berpegang) dengan agama selain daripada Islam, maka Allah tidak akan menerima dan pada hari akhirat dia tergolong dalam orang-orang yang rugi." (A-li Imran: 85)

             Pada malam yang bersejarah itu, Rasulullah s.a.w. dihimpun bersama dengan roh para nabi dan rasul 'alaihimus solatu wassalam di Masjidil Aqsa, mereka solat berjemaah bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi imam kepada mereka. Ini menandakan ajaran yang di bawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu daripada mata rantai ajaran Islam yang bersambung-sambung dari seorang nabi dan rasul kepada nabi dan rasul yang lain, bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman, tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w. Allah SWT memilih nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan manusia. Mereka terdiri daripada manusia yang memiliki akhlak yang luhur lagi tinggi, bersifat benar, amanah, menyampaikan, cerdik dan bijaksana di kalangan kaumnya dan dipelihara daripada melakukan kesalahan dan dosa.

Masji Al-Aqsa

             Adapun mereka yang tidak memahami dan buta al-Quran tidak akan percaya kepada peristiwa Israk dan Mikraj, kerana pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. ditemukan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan Bani Israil dan nabi-nabi dan rasul di kalangan umat-umat yang lain, yang cerita-cerita mereka disebut dalam al-Quran, sebuah kitab Allah yang masih wujud sehingga hari ini. Ini menandakan kebenaran al-Quran. Kebenaran al-Quran bukan sahaja menandakan betulnya Rasululah s.a.w. bahkan juga menjadi pengajaran kepada umatnya. Semua nabi adalah menganut agama yang satu iaitu agama Islam.
Semua mereka bersolat dalam keadaan menghadap Allah SWT dengan cara-cara solat yang diajar oleh Allah. Semua nabi berpegang dengan akidah tauhid lailahaillallah, tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah, Tuhan yang layak disembah kepada-Nya, Tuhan yang menjadikan dan menguruskan alam ini. Alam ini tunduk di bawah undang-undang peraturan Allah, maka wajib manusia hanya tunduk kepada undang-undang dan peraturan Allah SWT. Itulah ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul yang terpaksa berjuang mengharungi perjuangan yang panjang.

           Di dalam peristiwa itu juga ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w. rasul yang disertai oleh pengikut yang ramai. Ada rasul yang disertai oleh pengikut yang sedikit, ada yang berjalan seorang diri, ada nabi yang dibunuh dan ada yang dipenjara. Itulah nabi-nabi dan rasul-rasul yang membawa ajaran Allah yang berdepan dengan cabaran golongan manusia yang menjadi bala tentera iblis yang akan wujud sehingga hari kiamat.
Peristiwa Israk dan Mikraj untuk meningkatkan semangat Rasulullah s.a.w. supaya jangan takut dan gentar di dalam perjuangan Islam, kerana Islam yang dibawa itu ialah Islam Allah SWT.
Seluruh kuasa besar yang ada dalam dunia adalah habuk-habuk yang kecil yang boleh ditiup angin, bahkan ia lebih kecil lagi apabila berdepan dengan ketuhanan Allah SWT pada hari kiamat. Seseorang yang menganut Islam hendaklah merasa mulia, tinggi dan hebat dengan Islam, dengan syarat mereka berpegang dengan Islam. Allah SWT memuliakan umat ini dengan Islam. Kehinaan yang menimpa umat ini apabila mereka meninggalkan Islam.

Perjalanan Israk Mikraj Rasulullah S.A.W
           Ditunjukkan pada malam Israk dan Mikraj itu di mana perginya orang yang berpegang dengan Islam sehingga mati dan ke mana arah orang yang menyeleweng dan meninggalkan agama Islam.
Orang yang berpegang dengan Islam diletakkan di syurga dan mereka yang menyeleweng daripada Islam berada di dalam neraka. Hal ini digambarkan dengan jelas supaya diberitahu kepada umatnya sehingga kiamat.

           Marilah kita menghayati peristiwa Israk dan Mikraj dengan bukan hanya kita mendengar cerita yang berlaku di dalamnya tetapi yang lebih penting ialah untuk menambah iman kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran Islam untuk sehidup semati dengan Islam sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT.
Firman Allah (maksudnya):
 "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam." (A-li Imran: 102).

 

 

 

 

 

Sunday, May 25, 2014

Info Menarik Tentang Panda

   
Wolong - Habitat Asal Panda

  

            Jianzhu ialah sejenis buluh. Oleh sebab daunnya berbentuk panjang, seperti pedang, buluh ini dinamakan Jianzhu (buluh pedang). Buluh ini merupakan makanan utama panda. Lebih 20 tahun yang lalu, Jianzhu tiba-tiba berbunga kemudian mati secara besar-besaran, maka panda telah menghadapi masalah kekurangan makanan. Namun, melalui usaha pemuliharaan yang baik, Jianzhu tumbuh semula dengan subur di Kawasan Perlindungan Alam Wolong, dan panda yang merupakan spesies yang hampir pupus dapat hidup dengan selesa di kawasan ini.


 
               Kawasan Perlindungan Alam Wolong yang terletak di bahagian barat laut Provinsi Sichuan ini, merupakan salah sebuah habitat utama panda. Oleh sebab itulah, Provinsi Sichuan digelar habitat asal panda.
Panda liar hanya ditemui di hutan tebal di provinsi Sichuan, Shaanxi dan Gansu. Namun tempat yang paling baik bagi pelancong untuk menyaksikan haiwan yang comel ini ialah Taman Panda yang terletak di Kawasan Perlindungan Alam Wolong.
            
               Pegawai yang berkhidmat di kawasan perlindungan tersebut, Encik Zhang Liming berkata:
"Kami berharap dapat membantu panda agar terus hidup dengan sihat, di samping memberikan peluang kepada pelancong untuk mendekati haiwan yang hampir pupus ini. Selain itu, kami juga memaklumkan betapa pentingnya usaha memelihara ekologi kepada para pelancong serta memperkenalkan sejarah dan ciri-ciri panda, spesies kuno yang digelar 'Fosil Hidup' kepada para pelancong."

               Panda ialah sejenis haiwan yang amat disukai oleh orang ramai. Kini, lebih 100 ekor panda dipelihara di Taman Panda ini. Di taman ini, kita dapat melihat banyak panda yang bermain di luar bilik, ada yang bermain papan gelongsor, ada yang memanjat pokok, ada juga yang berehat dengan bersandar pada batu. 
Pekerja di taman ini memberitahu kami bahawa panda ialah sejenis beruang, dan pandai memanjat pokok. Jika terjatuh dari pokok, panda tidak akan cedera, kerana badannya amat gemuk.
Menyediakan makanan panda merupakan suatu perkara yang amat menyusahkan. Ini kerana pada masa dahulu, panda memang makan daging, tetapi haiwan ini beransur-ansur menjadi "vegetarian", dan buluh makanan utamanya. Cuaca yang lembap di Wolong amat sesuai bagi pertumbuhan buluh, jadi banyak panda yang hidup di sini. Walaupun panda tidak makan daging lagi, namun daya cernanya tidak banyak berubah. Sekiranya panda melakukan pergerakan yang terlalu kuat, daya fizikalnya akan terjejas. Itulah sebabnya panda selalu bergerak perlahan-lahan dan kelihatan sangat malas.


               Puan Rebecca Haase dari Amerika Syarikat telah melihat panda secara dekat buat pertama kalinya. Beliau telah mengambil banyak gambar panda yang sedang makan dan bermain. Beliau berkata:
"Saya berasa amat seronok dapat melihat panda dari jarak yang begitu dekat. Panda ini semuanya kelihatan sihat dan comel. Saya berharap Wolong mempunyai lebih banyak panda."
Di Taman Panda tersebut, terdapat sebuah bilik yang dilengkapi kemudahan termoden untuk memelihara anak panda. Melalui tingkap bilik itu, para pelancong boleh melihat anak panda yang baru dilahirkan. Badan anak panda itu hanya sebesar tapak tangan manusia, matanya masih belum terbuka, dan badannya belum berbulu.
Di luar bilik itu, Encik Zhang Shicang, pelancong dari Taiwan China telah menyaksikan seluruh proses menyusu anak panda. Beliau berkata:
"Saya mendapat banyak maklumat tentang panda dalam lawatan kali ini. Pemandu pelancong banyak bercerita kepada kami tentang sejarah dan keadaan hidup haiwan yang bernilai ini. Sekarang saya sudah tahu bahawa panda kurang membiak, dan ibu panda juga tidak pandai menjaga anaknya."

               Kami dimaklumi bahawa kadar kematian anak panda amat tinggi disebabkan penyakit ataupun terbunuh oleh ibu panda dengan tidak sengaja. Walaupun panda boleh melahirkan lebih daripada seekor anak pada satu-satu masa, namun ibu panda hanya mampu menjaga seekor anak sahaja. Maka, pekerja di Taman Panda ini akan menjaga anak-anak panda yang tidak dijaga oleh ibunya atau yang diserang penyakit.
Sekarang, semakin ramai orang yang suka akan panda, dan sebahagian daripada mereka bersedia menjadi sukarelawan di Wolong. Kodama Midori dari Jepun merupakan salah seorang daripada sukarelawan ini. Beliau memberitahu kami bahawa beliau dan tiga orang rakannya akan bersama-sama menjadi sukarelawan di taman panda ini selama seminggu. Beliau berkata:
"Saya memberikan makanan kepada panda-panda di sini setiap pagi. Pada waktu tengah hari dan petang, saya membersihkan bilik panda. Biasanya pelancong tidak berpeluang untuk mendekati panda seperti saya. Jadi aktiviti ini membuatkan saya berasa sangat teruja dan bangga."
Melawat Wolong pada musim yang berbeza, akan memberikan pengalaman dan pemandangan yang berbeza kepada para pelancong. Pakar penyelidik panda, Encik Li Desheng memberitahu kami bahawa pada musim panas, cuaca di Wolong agak nyaman dan tidak panas. Maka, panda suka bermain dan agak aktif pada masa itu. Pada musim gugur, pelancong mungkin berpeluang untuk menyaksikan proses kelahiran anak panda. Manakala musim bunga pula, merupakan musim mengawan bagi panda.
Selain panda ternakan, terdapat juga lebih 100 ekor panda liar yang hidup di hutan tebal di Kawasan Perlindungan Alam Wolong. Angka tersebut mewakili kira-kira 10% daripada panda liar di dunia.

Kini Panda di Malaysia

            
                 Pada tanggal 21hb Mei 2014, pasangan panda gergasi, Fu Wa dan Feng Yi yang telah di pinjamkan oleh Kerajaan China kepada Malaysia telah selamat tiba di Kompleks MASKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada jam 7.53 pagi.

                Ketibaan dua ekor panda yang dibawa menaiki penerbangan khas, MH6462 MASKargo, dari pangkalan panda gergasi di Dujiangyan, Chengdu, China itu disambut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel dan Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang.

                Palanivel dalam ucapannya sempena ketibaan itu, berkata pasangan panda berkenaan akan terus dibawa ke Zoo Negara untuk dikuarantinkan selama 30 hari di ekshibitnya yang sudah siap dibina. Ia dijangka dapat ditonton oleh pengunjung Zoo Negara, akhir Jun ini. Ketibaan pasangan panda itu sangat bermakna buat Malaysia memandangkan kedua-dua negara bakal merayakan Ulang tahun Ke-40 hubungan Diplomatik Malaysia-China. Feng Yi bermaksud Phoenix/unik luar biasa dan Fu Wa (bertuah) yang dilahirkan pada 23 Ogos 2003 itu, antara lapan panda yang mendapat perhatian ramai dan turut menyerikan Olimpik Beijing 2008.

             Sebelum ini, media melaporkan Malaysia dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA), menandatangani memorandum persefahaman (MoU) meminjam dua beruang panda daripada republik itu selama 10 tahun. Ia dilakukan menerusi Program Penjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.

             Melalui program perjanjian yang ditandatangani pada 2012 itu, Malaysia akan berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi panda gergasi, selain dapat membangun dan melatih kepakaran tempatan. Penghantaran pasangan panda itu pada mulanya dijadual pada 16 April lepas, tetapi ditangguh, berikutan kerajaan China mahu menumpukan usahanya untuk mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
     

   Fakta Menarik Tentang Panda


  • 90%  menu makanan Panda adalah buluh.
  •  Panda boleh memakan buluh sehingga 40kg dalam 1 hari saja.
  •  Panda menghabiskan 2/3 hidupnya hanya untuk makan.
  •  Dalam Zoology, Panda termasuk dalam haiwan karnivor (memakan daging) . Tapi 90% makanannya adalah buluh.
  •  Panda juga boleh makan madu, telur, ikan dan juga buah.
  •  Habitat asli/asal Panda adalah hanya di China.
  •  Di China, 'Panda' disebut 'Xiongmao' , manakala di Taiwan pula 'Panda' disebut 'Maoxiong' . Maksud 'Xiong' adalah beruang dan maksud 'Mao' pula ialah kucing
  • Walaupun seekor Panda kelihatan baik atau lucu, tetapi Panda juga akan menyerang manusia jika ia berasa terancam.
  • Sifat agresif Panda biasanya datang pada musim mengawan.
  • Panda mempunyai mata yang sama seperti kucing. Panda mampu melihat dalam gelap dengan lebih baik berbanding beruang yang lain kerana pupil panda berbentuk vertikal.
  • Telapak tangan Panda sama seperti beruang lain, kecuali tulang pergelangan tangannya lebih besar yang berperanan membantu memegang buluh ketika makan.
  • Panda juga merupakan haiwan yang hebat mendaki, Panda boleh jumpa tempat untuk berlindung/berteduh seperti di atas pokok mahupun di batuan. Malah Panda tidak memerlukan sarang untuk berlindung.
  • Panda juga salah satu haiwan yang tidak perlu melakukan hibernasi.
  • Panda hanya mampu mengawan sebanyak 1 kali dalam setahun dan mampu melahirkan 2 ekor anak pada masa 1 tahun itu.
  • Untuk menanda 'daerah kekuasaannya' (kawasan) . Panda juga menggunakan urin/air kencing untuk menandanya seperti di pohon atau batu-batuan.
  • Panda harus duduk atau berbaring ketika makan kerana mereka menggunakan kakinya untuk meyepit buluh.
  • Panda mempunyai gigi yang kuat dan mempunyai rahang yang kuat untuk menghancurkan/menguyah buluh.
























Wednesday, May 21, 2014

AL-Fatihah : Pemangku Sultan Kedah Mangkat





KENYATAAN MEDIA

Teks Pengumuman Kemangkatan Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah Darul Aman


Bismillah Hirrahmanirrohim

Bahawa dengan sedih dan dukacitanya dimaklumkan Yang Teramat Mulia Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Alhaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, telah mangkat di Hospital Pantai Ipoh, Perak pada pukul 12.20 pagi, hari Rabu, 21 haribulan Mei 2014 Masihi, bersamaan 21 Rejab 1435 Hijriah.

Jenazah Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku akan disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit, Alor Setar bagi maksud penghormatan terakhir pada sebelah pagi oleh para pembesar dan orang kenamaan, manakala oleh orang ramai mulai pukul 1 petang hingga 3 petang.

Jenazah Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah akan dimakamkan di Makam Di Raja Langgar selepas solat Asar pada hari ini, Rabu, 21 Mei 2014 Masehi, bersamaan 21 Rejab 1435 Hijriah.

Bendera Negeri, Persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan pada separuh tiang selama tiga hari mulai 21 Mei 2014. Tempoh perkabungan adalah selama tiga hari mulai 21 Mei 2014 sehingga 23 Mei 2014. Sepanjang tempoh tersebut, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan.

Sebagai penghormatan ke atas kemangkatan Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, hari ini, Rabu, 21 Mei 2014, diisytiharkan sebagai hari cuti peristiwa bagi seluruh Negeri Kedah Darul Aman.

Marilah sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, semoga roh Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para syuhadah dan solihin.


DATO' SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR
Menteri Besar Kedah Darul Aman

Tarikh : 21 Mei 2014




Friday, May 16, 2014

Terima Kasih Cikgu.



Assalamualikum...
Hari ini 16 Mei, hari yang bersejarah buat para guru di Malaysia.Tambah bersejarah bila kerajaan mengumumkan pemberian Netbook 1Malaysia buat hampir 400,000 ribu orang guru sebagai hadiah hari guru tahun ini.Semoga hadiah ini, akan menjadikan guru-guru di Malaysia lebih berdedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik demi untuk melahirkan anak bangsa yang berjaya dan berdaya saing pada masa akan datang.

 Guru bagaikan NTV 7 kerana kena 'ceria selalu', 
Kdg-kdg guru seakan TV3 kerana menjadi 'inspirasi hidupku',
Yg pasti guru juga seperti TV9 kerana 'dekat di hati' kerana apa?
Kerana guru seperti pakej ASTRO 'macam-macam ada',
Walau apa-apa pun, selalu guru berpesan seperti TV Al-Hijrah iaitu 'segalanya bermula di sini'....